KENALI AL HIKMAH

Aspirasi Al Hikmah

sekolah islam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Memilih institusi pendidikan untuk anak-anak bukan sekadar tentang kecemerlangan akademik, tetapi juga tentang membina peribadi, membentuk sahsiah dan mempersiapkan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di muka bumi.

Di Pusat Pendidikan Al Hikmah (PPAH), kami meletakkan tarbiyah sebagai teras pendidikan yang diterapkan secara berterusan, bukan sekadar melalui program atau aktiviti tertentu, tetapi dalam pengajaran dan pembelajaran, budaya sekolah serta setiap interaksi harian.

Kami percaya bahawa pendidikan yang sebenar bukan sahaja membina kecemerlangan ilmu, malah membentuk akidah, ibadah, akhlak dan keperibadian yang selari dengan tuntutan Islam.

Kami juga meyakini bahawa usaha membentuk anak-anak bermula dengan pembentukan para pendidiknya. Oleh itu, tarbiyah di Al Hikmah turut memberi penekanan kepada pembangunan diri guru dan kakitangan melalui budaya kerja yang berpaksikan Islam. Kami mahu melahirkan para pendidik yang bukan sahaja memiliki kompetensi profesional, malah menjadikan tugas mendidik sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT.

“Kami mahu anak-anak yang dididik di sini membesar sebagai insan yang memahami tujuan kehidupan, mengenali tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT dan sesama manusia, serta berupaya membawa nilai-nilai Islam dalam apa jua bidang yang diceburi.”

Berteraskan visi untuk membangunkan pelajar dan murid yang memiliki fikrah serta sahsiah yang syumul, Al Hikmah berusaha berdasarkan 10 Muwasafat Tarbiyah. Kami mahu anak-anak yang dididik di sini membesar sebagai insan yang memahami tujuan kehidupan, mengenali tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT dan sesama manusia, serta berupaya membawa nilai-nilai Islam dalam apa jua bidang yang diceburi.

Kami memahami cabaran ibu bapa dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab mendidik anak-anak. Justeru, Pusat Pendidikan Al Hikmah menyediakan persekitaran persekolahan yang menyeluruh, menggabungkan pendidikan akademik, deeniyah dan tarbiyah dalam satu sistem pendidikan yang terancang.

Sepanjang berada di sekolah, perkembangan pembelajaran, pembentukan sahsiah serta kebajikan anak-anak diberikan perhatian bagi memastikan mereka mendapat bimbingan dan penjagaan yang sewajarnya. Pendekatan ini membolehkan anak-anak membesar dalam persekitaran yang membudayakan nilai-nilai Islam dan menggalakkan perkembangan diri secara seimbang.

Kami percaya bahawa pendidikan yang berkesan terhasil daripada kerjasama erat antara sekolah dan keluarga. Melalui pendekatan ini, Pusat Pendidikan Al Hikmah berusaha menjadi rakan pendidikan yang dipercayai oleh ibu bapa dalam membina generasi berilmu, berakhlak mulia dan menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan.

Tn. Haji Khalid Zakaria

Pengerusi Eksekutif
Pusat Pendidikan Al Hikmah
sekolah islam

Teruskan Membaca